Tips Sebelum Menghafaz Al-Quran Bagi Pemula

Saya bukanlah orang yang masyi hafazan Al-Quran, saya hanya diberi peluang oleh Allah untuk menghafaz 30 Juz Al-Quran. Namun, belum tentu keseluruhan Al-Quran saya ingat. Astaghfirullah! Semoga Allah terus istiqamahkan saya menjaga hafazan hingga akhir hayat. Aamiinn.

Hafaz dan jaga hafazan merupakan dua perkara berbeza. Sebelum menghafaz Al-Quran sebagai pemula, anda perlu ingat, kita perlu jaga hafazan tersebut. Hafaz dan jaga hafazan. Tidak boleh sekadar menghafaz tanpa usaha untuk mengulang dan menjaga hafazan tersebut selepasnya. Oleh itu, menghafaz Al-Quran ini tidak mudah kerana anda wajib buat kerja yang kedua selepas kerja yang pertama. Dah hafaz kenalah murojaah!

TIPS 1 : Tetapkan niat kenapa nak hafaz Al-Quran.

Setiap perkara harus bermula dengan niat. Apatah lagi menghafaz Al-Quran. Ibadah yang sangat besar syafaatnya di akhir kelak. Jadi, sebagai pemula anda perlu ada niat yang jelas, niat yang dapat menguatkan anda sepanjang anda berjalan atas jalan ini. Kerana sepertimana yang saya sebutkan tadi bahawa jalan ini tidak mudah, banyak liku-liku dan pancarobanya. Jadi anda perlu ada niat dan azam yang kukuh tak tergoyah sehingga akhirnya. Niat yang macam mana? Itu saya serahkan pada anda, anda yang mahu hafaz Al-Quran, maka refleksilah niat anda. Apa yang saya boleh kata, kebahagiaan di dunia ini memang indah belaka namun kebahagiaan di akhirat nanti tiada tolok bandingnya!

TIPS 2 : Hayati surat cinta. Hadirkan rasa cinta.

Nanti, jangan hafal dulu! Anda baru ada niat, anda belum sedia lagi nak menghafaz. Kenapa? Hayati dahulu surat cinta itu. Surat cinta? Ya, surat cinta dari Tuhan. Sungguh, Al-Quran itu surat cinta dari Allah, pemilik segala cinta. Tak percaya? Bacalah terjemahan. Banyak pesan-pesan, kisah-kisah teladan, teguran-teguran dan khabar yang indah-indah. Bila sedih, ada pesanannya. Bila terasa lemah bila diuji, ada nasihatnya. Dan macam-macam lagi. Tinggal Sang Hamba saja yang mahu tidak mahu membaca pesanan-pesanan dari Tuhannya. Oleh itu, hayatilah Al-Quran. Bacalah terjemahan. Hadirkan rasa cinta dengan Al-Quran. Sungguh, rasa cinta itu akan membuatkan jalan menghafaz Al-Quran yang anda pilih sangat indah!

TIPS 3 : Perelokkan bacaan.

Niat dah, rasa cinta pun dah. Sekarang, perelokkan bacaan Al-Quran anda. Eh tapi bacaan saya dah elok tajwidnya kata si fulan. Bagus! Pelajari pula lantunan suara membaca Al-Quran yang indah-indah. Tak semestinya kena tarannum. Memadai dengan lenggokan nada bacaan yang cantik yang dapat membuatkan kita syok membaca Al-Quran. Tiadalah tegak dan mendatar saja bacaannya. Telinga sendiri pun penat mendengarnya. Paling kurang hadir rasa seronok nak membaca Al-Quran dan menghafaznya. Sepertimana anda syok menyanyi ketika mandi dalam bilik air, begitulah perumpamaannya. 

Ini tiga tips ringkas bagi pemula yang mahu mendapatkan syafaat Al-Quran di akhirat kelak yang dapat saya kongsikan berdasarkan pengalaman. Ini baru peringkat permulaan bagi jalan ini. Bagi anda yang ada niat, impian dan hasrat untuk menjadi penghafaz Al-Quran, saya doakan semoga perjalanan anda dipermudahkan dan dikurniakan jalan yang indah. Ingat, Al-Quran itu kata-kata Allah. Kalamullah. Justeru, bergantung haraplah pada pemilik kata-kata itu. 

Wallahua'lam. Selamat melalui jalan ini! 


//it

Comments

Popular posts from this blog

Menghargai Perjalanan, Menikmati Ujian Dan Cabaran.