Menghargai Perjalanan, Menikmati Ujian Dan Cabaran.

Pernahkah anda terdengar tentang ungkapan "muhasabah"?

Biasanya ungkapan ini apabila disebut, seringkali dikaitkan hanya dengan perihal dosa atau kesalahan bukan? Bak kata si fulan, "muhasabahlah, berapa banyak dah dosa yang kau buat". Atau ayat-ayat yang seerti dengannya. Namun, adakah muhasabah itu hanya berkisar tentang dosa semata-mata?

Muhasabah berasal dari perkataan arab yang membawa maksud perhitungan, pengiraan atau penilaian. Ungkapan yang boleh digunakan juga dalam terma psikologi sebagai refleksi diri atau merenung diri. Apabila menyebut tentang refleksi diri, maka konsep muhasabah ini dapat diaplikasikan dengan lebih meluas. Misalnya, kita boleh merenung kembali kebahagiaan dan kesusahan yang telah kita lalui sebelum ini. Semalam, kelmarin atau waktu-waktu yang lalu. Semua yang kita lalui, yang kita hadapi, tidak kiralah suka atau benci, semuanya merupakan aturan berbentuk takdir yang Allah dah susunkan cantik dan indah untuk kita. Ya, cantik dan indah. Walaupun zahirnya ia terkadang menyakitkan seperti kehilangan harta benda. Mana mungkin ada orang yang mampu tersenyum tatkala harta yang dimiliki hilang atau musnah. Sememangnya fitrah manusia tidak sukakan pada kehilangan. Namun percayalah, selepas beberapa waktu, apabila ujian atau musibah itu berlalu kita akan mampu tersenyum setelah hikmah di sebalik ujian itu terlihat seperti sinar matahari yang muncul di sebalik awan mendung yang berlalu pergi.

Jadi, untuk menjadi hamba yang optimis dengan kehendak dan aturan Tuhan, kita perlu sentiasa bermuhasabah tidak kiralah perkara yang kita lalui itu senang atau susah. Abapila kesenangan yang kita ada walau sebesar zarah direfleksi, seperti keberadaan orang yang disayangi ada di sisi kita, maka syukur akan hadir. Syukur. Biasa kedengaran namun jarang sekali dirasakan. Walaupun sekecil zarah kesenangan atau kebahagiaan kita rasai, hargailah, syukurilah. Terima kasih Allah, atas kebahagiaan yang kau pinjamkan untuk aku nikmati ini. Maafkan aku kerana masih mengharapkan kesenangan yang lebih lagi. Aku hanya hamba yang lemah, terima kasih atas kesenangan yang aku telah rasai ini. 

Dengan begitu, kita akan menjadi hamba yang menghargai apa adanya. Menghargai perjalanan yang ada. Menghargai dan menikmati selok belok dan turun naik kehidupan. Kesusahan dan kesakitan yang dilalui pula, akan menjadikan kita hamba yang tegap tidak tergoyah walau bumi seakan digoncang kuat. Mengapa pula? Kerana dasarnya hati dan jiwa kita telah yakin dan percaya bahawa ini merupakan suatu bentuk didikan dan ajaran dari Sang Pencipta. Dialah yang tahu masa hadapan sedangkan kita hanya mampu melihat masa kini yang terlihat menyakitkan. Tidak lah Tuhan itu aturkan takdir untuk menzalimi Sang Hamba. Aku yakin dan percaya semua ada sebab dan hikmahnya. Tidak mengapa, biarkan air mata itu mengalir. Itu fitrah manusia. Fitrah merasa kesedihan dan kedukaan. Hatta nabi sendiri pun merasa kesusahan dan kedukaan. Namun tidaklah kesedihan dan kedukaan itu dilorongkan kepada tindakan yang buruk dan tidak cerdik. Dalam Al-Quran ada menceritakan bahawa Nabi Yaakub mengadu kesusahan dan kesedihannya kepada Allah.

(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Yusuf ayat 86)

Renungkan apa yang berlaku. Hayati segala yang berlalu. Adukan pada Tuhan yang satu.

In Shaa Allah, liku-liku kehidupan ini akan dirasai nikmatnya!








Comments

Popular posts from this blog

Tips Sebelum Menghafaz Al-Quran Bagi Pemula